for the other half of the sky

berita

October 9, 2007 · Leave a Comment

BPR digesa tarik balik notis pada Sivarasa dan Sim
Oct 8, 07 3:33pm Saiz Huruf:

Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menarik balik notis yang mengarahkan dua individu dari Parti Keadilan Rakyat (pkr) supaya mendedahkan identiti sumber klip video perbualan seorang peguam mengenai pelantikan hakim-hakim.

Presiden TI-M, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, tindakan BPR itu boleh dianggap sebagai satu percubaan untuk bertindak balas terhadap sumber klip video tersebut.

Sebaliknya, beliau menggesa BPR supaya memfokuskan kepada siasatan mengenai kesahihannya dan kesalahan yang didakwa dilakukan dalam klip video tersebut.

Klip video itu didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menunjukkan peguam Datuk VK Lingam berbual melalui telefon, didakwa mengatur perlantikan hakim.

Berdasar kontek perbualan tersebut, Anwar mendakwa orang yang berbual dengan Lingam adalah Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz.

Khamis lalu, Naib Presiden PKR, R Sivarasa (foto) dan penyelaras politik Anwar – Sim Tze Tzin – telah menerima notis dari BPR itu yang memberi mereka tempoh tujuh hari untuk mendedahkan sumber klip video tersebut.

Notis itu menyatakan bahawa kegagalan untuk berbuat demikian adalah melanggar Seksyen 29 (c) Akta Mencegah Rasuah 1997. Di bawah Seksyen 58 akta yang sama, mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara.

Mesti dilihat berkecuali

BPR juga merakam kenyataan Anwar berhubung pendedahan klip video tersebut pada hari berikutnya, tetapi beliau tidak diberikan notis tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ramon berkata, TI-M memandang berat langkah yang diambil oleh BPR terhadap Sivarasa dan Sim dan menyifatkannya sebagai “sesuatu yang malang”.

Katanya, ia dilihat sebagai satu pendekatan yang keras dalam mengendalikan tuduhan salahlaku dan ia boleh membuat BPR dianggap seolah-olah bertindak melindungi individu-individu dan nama-nama yang disebut dalam klip video tersebut.

Oleh itu, katanya, TI-M secara ikhlas menggesa BPR supaya menarik balik notis yang dikeluar terhadap Sivarasa dan Sim dan menumpukan siasatannya kepada kesahihan dan dakwaan kesalahan yang dilakukan.

Katanya, BPR perlu dilihat oleh rakyat sebagai berkecuali dalam menyiasat kes tersebut dan bukannya dianggap menimbulkan rasa ancaman atau gangguan terhadap sumber klip video berkenaan.

Menurutnya lagi, sebarang tanggapan layanan tidak adil terhadap sumber maklumat akan menjejaskan kerjasama rakyat.

Katanya, ia juga akan menjejaskan semua usaha kerajaan untuk memerangi rasuah dan salahlaku secara berkesan, dengan sokongan rakyat.

Oleh itu, kata Ramon, adalah penting untuk menjaga kredibiliti BPR demi kepentingan rakyat.

Categories: Uncategorized

0 responses so far ↓

  • There are no comments yet...Kick things off by filling out the form below.

Leave a Comment